Sabtu, 25 Mac 2017

UMUR LAYAK DIBERI PENCEN BAGI ANGGOTA YANG BERSARA PILIHAN

Di bawah seksyen 12, Akta Pencen 1980, pegawai yang dilantik pada atau selepas 12 April 1991 yang bersara pilihan ("retire optionally") akan hanya diberi pencen pada tarikh mencapai umur persaraan wajib yang terpakai baginya, iaitu sama ada pada umur 55 tahun, 56 tahun atau 58 tahun, mengikut terma dan syarat pelantikan atau opsyennya.  Walau bagaimanapun,  ganjaran  dan wang tunai sebagai gantian cuti rehat akan diberi ketika beliau bersara pilihan. Sebagai penjelasan,  12 April 1991 ialah tarikh berkuat kuasanya pindaan Akta Pencen 1980 yang memperuntukkan pemberian pencen kepada pesara pilihan pada tarikh mencapai umur persaraan wajib.
Sekiranya seseorang pegawai itu pernah dilantik sebelum pelantikan terkini, dan beliau telah meletakkan jawatan ("resign") daripada pelantikan asal itu, tarikh pelantikan " pada atau selepas 12 April 1991" yang dimaksudkan ialah tarikh pelantikan kedua.  Ini adalah kerana beliau dilantik semula atas terma dan syarat yang berkuat kuasa sehubungan pelantikan keduanya, yang mengatasi terma dan syarat berkaitan pelantikan asal itu.

Sekiranya tidak berlaku peletakkan jawatan antara dua pelantikan itu, tarikh pelantikan " pada atau selepas 12 April 1991" yang dimaksudkan ialah tarikh pelantikan pertamanya.
YEOW CHIN KIONG
Pengarah Bahagian Pencen
Jabatan Perhidmatan Awam
Malaysia 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan