SEJARAH KEWUJUDAN KEPTAN
Setelah sedia maklum sebelum wujudnya
'KEPTAN' (Kesatuan Pembantu Tadbir dan Pembantu Tadbir Rendah
(Pendidikan) Semenanjung Malaysia) sebenarnya Pembantu Tadbir
(Pendidikan) dahulunya digelar Kerani Sekolah kemudian Pegawai Kerani.
Kesatuan Pegawai Kerani Pendidikan telah pun ditubuhkan pada tahun 60an.
Dan banyak perkara yang telah diperolehi oleh Kerani Sekolah. Di
antaranya meletakkan jawatan Kerani Sekolah yang di bawah lantikan
Lembaga Pengurus Sekolah kepada lantikan Suruhanjaya Perkhidmatan
Pendidikan (lantikan tetap), mewujudkan jawatan Kerani Kanan (sekarang
Pembantu Tadbir N22), meminta adakan 'Close Service' untuk kakitangan
sokongan Kementerian Pendidikan agar penghijrahan Kerani Kanan dari
Jabatan Perkhidmatan Awam ke agensi Kementerian Pendidikan disekat.
Ibu Pejabat KEPTAN Semenanjung Malaysia
Malangnya Kesatuan ini telah dibatalkan
dalam tahun 80an kerana tidak melaksanakan peraturan-peraturan Kesatuan
Sekerja. Perkara ini tidak dapat dielakkan kerana dimasa itu yuran
bulanan ahli tidak dibuat melalui potongan Perkhidmatan Biro Angkasa
tetapi hanya dengan kutipan dibuat oleh Bendahari Agung atau wakil
negeri sahaja.
Pada 4 Ogos 1991 beberapa orang Pembantu
Tadbir dari Selangor, Wilayah Persekutuan, Johor, Perak, Negeri Sembilan
dan Pulau Pinang telah bermuafakat untuk menubuhkan semula Kesatuan ini
yang mana mesyuarat penubuhan diadakan di Jabatan Pendidikan Selangor,
Shah Alam dan dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan Selangor, Y.Bhg. Tuan
Hj. Jumali bin Kasan. Ahli Jawatankuasa penaja adalah terdiri dari
Pembantu Tadbir secara sukarela, mengorbankan masa, tenaga mahupun wang
ringgit.
Pada 15 November 1992 Mesyuarat Agung
penubuhan telah diadakan di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan,
Kuala Lumpur yang dirasmikan oleh Y.Bhg. Tuan Hj. Shamsudin bin Dahlan,
Timbalan Ketua Setiausaha II, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Penubuhan semula ini adalah di atas
kesedaran dan keinsafan yang dialami Pembantu Tadbir (Pendidikan) yang
menghadapi beban kerja yang bertambah dari masa ke semasa terutamanya
yang bertugas di sekolah di samping kebajikan Pembantu Tadbir tiada
pembelaan.
Setelah Ahli Jawatankuasa Penaja ditubuhkan,
sampai masanya untuk melaksanakan pendaftaran dengan Pengarah
Pendafataran Kesatuan Sekerja. KEPTAN mendapat tentangan dari beberapa
pihak terutamanya Kesatuan AUEGCAS yang mana Presidennya adalah Presiden
CUEPACS, Saudara A.H.Ponniah. Beliau membuat beberapa bantahan agar
KEPTAN tidak ditubuhkan. Nasib KEPTAN sungguh baik kerana kelulusan
telah diberi oleh Pendaftar Kesatuan Sekerja pada 2 Mei 1995 tetapi
dengan syarat 'Sekiranya KEPTAN terbatal sekali lagi, pihak Pendaftar
Kesatuan Sekerja tidak akan membenarkan Pembantu Tadbir (Pendidikan)
menubuhkan Kesatuan lagi'.
Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia pula
mengeluarkan satu surat pekeliling kepada semua Bahagian di Kementerian
Pendidikan Pendidikan Malaysia dan semua Pengarah Pendidikan Negeri - KP
(PP)0089/61/1/Jilid. 2(18) bertarikh 11 Julai 1995. Semua Ahli
Jawatankuasa Penaja mengorak langkah menjelajah Semenanjung Malaysia
dengan perbelanjaan sendiri membantu wakil negeri menubuhkan cawangan
mengikut Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan
Bahagian di Kementerian Pendidikan Malaysia yang difikirkan wajar.
Mesyuarat Agung Tahunan Pertama diadakan
pada 27 dan 28 September 1996 bertempat di Kem Kijang, Kota Bharu,
Kelantan dan dirasmikan oleh Y.Bhg. Tuan Hj. Malik bin Hamzah.
Setiausaha Bahagian Pembangunan Organisasi dan Perkhidmatan, Kementerian
Pendidikan Malaysia dan pemilihan Ahli Jawatankuasa EXCO bagi tempoh
1996/1998 telah diadakan.
Sumber : Portal Rasmi KEPTAN Semenanjung Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan