KELEBIHAN BULAN RAMADHAN
-
Daripada Anas (r.a), Katanya: Bersabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang
hamba apabila melihat ia sehari bulan Ramadan lantas dia memuji Allah
( kerana kedatangan bulan rahmat dengan kelebihan dan keistimewaanya) kemudian
dibacanya Al-Fatihah tujuh kali, melainkan diafiatkan Allah daripada sakit
matanya pada bulan ini.
-
Kelebihan bulan Ramadan dan keagungannya dengan adanya malam Lailatul Qadar
yang dirahsiakan, sehingga mendapat keampunan dan pahala serta darjat dan
darjah tertinggi bagi orang yang berjaya mendapatkan malam Lailatul Qadar
dengan dipenuhi amal ibadah dan bertaqwa kepada Allah, disamping sembahyangnya
yang sunat , istiqfar, tasbih dan berzikir sepenuhnya.
-
Berkata Saidina Ali, Nabi (s.a.w) telah bersabda apabila engkau melihat
sehari bulan maka bacalah olehmu "AllahuAkbar" 3 kali, kemudian bacalah
:
(Segala kepujian bagi Allah yang telah menjadikan aku dan telah menjadikan
engkau, dan telah menentukan bagi engkau pangkat-pangkat (darjah) dan telah
menjadikan engkau tanda (kekuasaan) bagi sekalian alam) nescaya bermegah
Allah akan Dia dengan malaikat dan firmanNya: Hai malaikat! saksikanlah
kamu, bahwa Aku telah merdekakan daripada api neraka, atau dibacakan :
(Ya Allah, zahirlah Ramadan atas kami dengan keamanan dan keimanan
dan dengan keselamatan dan keIslaman, Tuhanku dan Tuhan engkau Allah.)
-
Bersabda Nabi (s.a.w) : Bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias
dari setahun ke setahun kerana masuknya bulan Ramadan. Pada awal malam
bulan Ramadan bertiup angin di bawah Arasy bergeraklah daun kayu lemah-longlainya
di dalam syurga. Terdengarlah desiran daun-daun kayu, hembusan sang bayu
syurga yang teramat indahnya.Seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan
nurani. Maka berhiaslah bidadari sekaliannya lalu berdirilah di atas puncak
mercu syurga itu. Lantas bersuaralah bidadari : Adakah orang yang hendak
meminang kami kepada Allah, kata bidadari pula: Apakah malam ini namanya?
jawab Malek Ridwan (malaikat), Hai bidadari yang cantik manis, inilah malam
awal Ramadhan, Lalu Allah berfirman: Hai Ramadan bukalah pintu syurga Bab
AlJanan untuk orang-orang yang berpuasa daripada umat Muhammad (s.a.w).
Hai Malek Ridwan tutuplah pintu neraka Al-Jahim daripada umat Muhammad
(s.a.w), hai Jibrail belenggukan syaitan, lontarkannya ke dalam lautan
supaya tidak membinasakan umat Muhammad akan puasanya. Maka berfirman Allah
pada tiap-tiap malam Ramadan tiga kali : Adakah orang yang meminta ampun?
Akan Aku ampunkan!
-
Pada malam Lailatul Qadar menyuruh Allah Ta'ala akan Jibrail Alaihisalam
turun ke bumi, lalu turunlah Jibrail ke dalam perhimpunan malaikat ke bumi
bersamanya bendera hijau lalu dipacakkan ke atas Kaabah, baginya 600 sayapnya
, setengahnya tiada dibuka keduanya, melainkan pada malam Lailatul Qadar
baharulah dibukakan keduanya, hingga sampai dari timur ke barat ( Musyriq
Ke Maghrib ). Untuk menyelamatkan umat Muhammad, Lalu memberi salam kepada
tiap orang yang berjaga pada malam Lailatul Qadar beribadah kerana mencari
keredaan Allah, dan orang-orang yang duduk beribadah, orang yang sembahyang
dan berzikir dan berjabat tangan sesama mereka mukmin dan mengucap amin
doa orang-orang mukmin hingga terbit fajar subuh....... berkata para malaikat
kepada Jibrail , apakah Allah berikan pada hajat orang mukmin dari umat
Muhammad (s.a.w) pada bulan Ramadan ini? Berkata Jibrail bahawasanya
Allah menilik kepada umat Muhammad yang berpuasa dan beribadah padanya
dan dimaafkan mereka, diampunkan dosa-dosa mereka, melainkan empat orang
yang tiada diampunkan dosanya: yaitu orang yang kekal minum arak, orang
yang derhakakan ibubapanya, orang yang memutuskan sillaturrahim dan orang
yang tidak bercakap dengan saudaranya lebih dari 3 hari.
-
Apabila pada malam akhir Ramadan dinamakan malam persalinan. Pada malam
hari raya Aidilfitri didatangkan Allah malaikat kepada tiap-tiap negeri
turunlah mereka ke bumi, berdiri pada permukaan jalan menyeru dengan suara
yang kuat, semua mendengarnya kecuali jin dan manusia berkata mereka, hai
umat Muhammad keluarlah kamu menghadap tuhan yang amat mulia (sembahyang
raya di pagi raya) yang memberi pemberian yang berpanjangan dan mengampun
akan dosa-dosa yang besar. Apabila tibalah umat Muhammad ke tempat sembahyang,
firman Allah kepada maliakat : Hai malaikatKu, apakah balasan orang yang
mengambil upah apabila selesai kerjanya ? Jawab malaikat , hai Tuhan kami,
sempurnakanlah upahnya! Firman Allah bahawa Aku saksikan kamu hai malaikatku,
telah aku jadikan pahala mereka dari puasa mereka pada bulan Ramadan mereka
mendirikan sembahyang, ialah keredaanKu dan keampunanKu kepada mereka!
Maka firmannya lagi : Hai segala hambaku, pohonlah kamu kepada ku, maka
demi ketinggianku dan kebesaranku, tiada memohon kepadaku hari ini akak
sesuatu bagi agamamu dan duniamu, melainkan Aku kurniakan kepadamu! (Al-Hadith).
-
Sabda Nabi (s.a.w) : Diberi kepada umatku lima perkara yang belum pernah
diberi kepada umat-umat dahulu sebelumnya :
-
a) Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah
-
b) Segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasanya adalah syurga balasannya.
-
c) Diampunkan dosa-dosa mereka pada malam Lailatul Qadar.
-
d) Amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan digandakan kepada 10 hingga
700 kali ganda, melainkan puasa maka ianya bagiKu, Aku balas kepadanya
yang berkuasa menahan syahwatnya, makan minumnnya kerana Aku.
-
e) Dan mereka dikurniakan nikmat kepada mereka keseronokkan ketika berbuka
dan ketika menemui tuhan di akhirat.(Al-Hadith)
-
Sabda Nabi (s.a.w) : Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardhu,
dan amal fardhu diberi balasan 70 kali ganda. Bulan puasa adalah bulan
sabar (sabar dalam berbuat taat kepadaNya.), dan sabar itu adalah syurga
balasannya bulan ini dilebihkan rezeki kepada hambanya orang mukmin, diampunkan
baginya dosa-dosa. Barang siapa memberi makan kepada orang berpuasa pahalanya
seperti memerdekakan hamba dan diampunkan dosanya, berkata sahabat : Bagaimana
kami tak sanggup memberi makan orang yang berpuasa (berbuka puasa) ya Rasullullah
- Allah memberi pahala ini kepada orang yang memberi seteguk susu atau
sebiji kurma atau segelas air, barang siapa kenyangkan orang berpuasa diampunkan
Tuhan dosanya, diminumkan Tuhan dari kolam Hudh sejenis minuman yang tiada
dahaga lagi kemudiannya hingga masuk ia ke syurga dan pahalanya seperti
pahala orang berpuasa. (Al-Hadith)
-
Puasa menurut segala yang disuruh dan menjauh segala pantang larangannya,
diampunkan dosanya, dan bertasbih, bertahlil dibinakan rumah indah dalam
syurga.
-
Barang siapa hadir ke dalam majlis zikir pada bulan Ramadan, ditulis tiap
langkahnya ibadat setahun, dan pada hari Qiamat bersamaku di bawah Arasy.
Siapa tetap berjemaah dalam bulan puasa didirikan kota bercahaya indah,
cemerlangnya , dan yang berbakti kepada ibubapanya Allah memandang rahmat
kepadanya, dan isteri yang berbuat sesuatu mencari keredaan suaminya, maka
pahala yang besar Allah kurniakan kepadanya , seperti Siti Maryam dan siapa
yang menyampaikan hajat orang mukmin, Allah menunaikan seribu hajatnya,
dan siapa bersedekah kepada fakir miskin (yang ada anak isteri) tiap langkah
dikurniakan kepadanya seribu kebajikan, dihapuskan seribu kejahatan dan
diangkatkan seribu darjat baginya. (Al-Hadith).
-
Orang yang sembahyang bulan Ramadan tiap sekali sujud, dikurniakan kepadanya
1700 kebajikan, dan dibinakan rumah didalam syurga daripada permata bagi
orang yang berpuasa dan beribadat, 75000 malaikat meminta ampun baginya
dari pagi hingga tenggelam matahari, dan dibina sebuah mahligai baginya
. (Al-Hadith)
-
Pada hari Qiamat, Allah memerintah Malek Ridwan supaya dikeluarkan orang-orang
berpuasa daripada kuburnya dengan keadaan lapar dan dahaga, lalu disuruh
Malek Ridwan berikan segala keinginan mereka dari segala macam makanan
dan minuman syurga. Maka Malek Ridwan memerintah kepada anak-anak membawa
talam-talam makanan , minuman dan buah-buahan. Sebagai balasan berlapar
di bulan Ramadan. (A-Hadith)
-
Orang mukmin yang tidur dalam bulan puasa kerana puasa Ramadan, dia membalikkan
badannya sambil meyebut Allah! maka kata malaikat kepadanya : Rahimakallah
(Allah Mencucuri Rahmat kepada kamu.)
-
- Apabila dia berdiri maka berdoalah hamparannya : (Wahai Tuhanku,
kurniakanlah kepadanya hamparan permaidani tebal kepadanya di dalam
syurga)
-
- Apabila memakai pakaian , berdoalah pakaian (Wahai Tuhanku, kurniakan
kepadanya pakaian syurga)
-
- Apabila memakai kasut, berdoalah kasut (Wahai Tuhanku, tetapkanlah
atas titian Siratul Mustaqim!)
-
- Apabila memegang timba berdoalah pula timba : (Wahai Tuhanku kurniakan
kepadanya gelas syurga!)
-
- Apabila mengambil air sembahyang , berdoalah air itu : (Wahai Tuhanku
sucikannya daripada segala dosa dan kesalahan!)
-
- Apabila berdiri sembahyang , berdoalah rumahnya: ( Wahai Tuhanku
cahayakanlah kuburnya dan luaskanlah , lapangkanlah kuburnya!)
-
Serta menilik Allah kepadanya , maksudnya : HambaKu berdoa dan Aku menerima!
(Al-Hadith)
-
Malaikat yang banyak muka bersujud kepada Allah pada hari Qiamat, satu
muka sujud , satu muka melihat syurga, satu muka melihat neraka, satu muka
melihat Arasy , lalu berkata malaikat itu : Wahai Tuhanku , ampunlah umat
Muhammad, kasihanilah mereka! janganlah disiksa orang yang berpuasa Ramadan
dari umat Muhammad! (Al-Hadith)
-
-
Keredaan Allah (bagi orang yang taat)
-
Keampuan Allah (bagi orang yang maksiat)
-
Jaminan Allah (bagi orang yang taat)
-
Kejinakan Allah (bagi orang yang tawakkal)
-
Anugerah Allah (bagi orang yang benar).
-
Ramadan, Ramada, ertinya : membakar - yakni menghapuskan dosa dosa orang
yang berpuasa dan beribadat bulan Ramadan.
-
Ramadan ertinya bulan mendapatkan keredhaan Allah dan keampunan bagi hambaNya.
Orang yang mendapat keredhaan dan keampunan Allah bererti memberi jaminan
(kerana ibadatnya pada bulan mulia dengan penuh taat) mendapat syurga anugerah
Allah bagi hambaNya yang benar benar melakukan ibadat kerana Nya pada bulan
Ramadan termulia ini dengan ganjaran pahala sehingga seribu kali ganda
dan keampunan yang banyak sekali, teristimewa pada malam Lailatul Qadar.
-
-
"Bahawa di dalam syurga terdapat bilik bilik, dilihat dari luar nampak
di dalamnya dan dilihat dari dalam kelihatan di luarnya, berkata sahabat
: untuk siapakah ya Rasulullah? Lantas Baginda menjawab : Ialah bagi orang
yang baik percakapannya, bagi orang yang memberi makan makanan, bagi orang
yang sentiasa berpuasa, bagi orang yang sembahyang di tengah malam sedang
manusia banyak tidur." (Al Hadith)
-
"Semulia mulia sedeqah ialah sedeqah pada bulan Ramadhan." (Al Hadith)
-
-
"Puasa itu perisai dan sedeqah itu memadam kesalahan dosa sepertimana air
memadamkan api." (Al Hadith)
-
-
"Siapa memberi makan ( berbuka puasa) kepada orang puasa makan baginya
seumpama balasan pahala orang yang berpuasa dengan tidak kurang sedikitpun
." (Al Hadith)
-
Sabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba berpuasa Ramadan, diam
tiada berkata yang sia sia dan daripada yang haram dan yang makruh, dan
sentiasa menyebut Allah (berzikrullah), menghalalkan yang dihalalkan Allah,
mengharamkan akan yang diharamkan Allah, tiada mengerjakan kejahatan, melainkan
sehingga berakhir Ramadan, telah diampunkan baginya segala dosanya, dan
tiap tasbih, tiap tahlil, dibinakan sebuah rumah yang terindah di dalam
syurga daripada permata zamrud, di dalamnya daripada yaqut merah indah,
di dalam rangka permata itu (yaqut) terdapat sebuah khemah, di dalamnya
terdapat bidadari ( hurul ain isteri syurga). Terhias dengan permata bercahaya
indah yang menerangkan bumi seluruhnya.(Al Hadith)
-
Sabda Nabi (s.a.w) : Bahawasanya bagi Allah beberapa kejadianNya, dijadikan
mereka supaya menyampaikan segala hajat orang dan supaya orang meminta
tolong kepada Nya, pada menyempurnakan segala hajat yang diperlukan, mereka
itulah orang yang aman daripada siksa Allah (Riwayat At Tibrani) (Al-Hadith)
-
Sabda Nabi (s.a.w) : Bahawa pintu langit dan pintu syurga dibuka pada awal
Ramadan hingga akhir malam Ramadan, tiap orang yang bersembahyang pada
malamnya dituliskan baginya tiap satu sujud 1700 kebajikan, dibina rumah
baginya di dalam syurga daripada yaqut merah indah, baginya 70 pintu
daripada emas yang bertatah yaqut permata yang merah, orang yang berpuasa
pada awal Ramadan diampunkan segala dosanya hingga ke akhir bulan
Ramadan, dibinakan baginya tiap tiap hari sebuah mahligai di dalam syurga,
mempunya 1000 pintu daripa emas, dan meminta ampun baginya 70 000 malaikat
dari pagi hingga tenggelam matahari (Al Hadith)
-
Sabda Nabi (s.a.w) : Kelebihan hari Jumaat pada bulan Ramadan atas segala
hari yang lainnya seperti kelebihan Ramadan atas segala bulan (Al Hadith)
-
Barangsiapa mengerjakan ibadat pada bulan Ramadan dengan keimanannya dan
ikhlasnya kerana Allah, maka di ampunkan segala dosanya yang telah lalu
(Al Hadith)
-
Sabda Nabi (s.a.w) : Tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadat, dan nafasnya
itu adalah tasbih, doanya itu mustajab, dosanya diampunkan Allah, dan amal
ibadatnya dilipatgandakan . (Al Hadith)
-
Apabila berakhir bulan Ramadan, menangis wali-wali Allah kerana terpisahnya
bulan yang paling mulia yang digandakan ibadat berlipatkali ganda daripada
bulan bulan yang lainnya, bulan Allah mudah menerima ampun taubat hambaNya,
bulan yang banyak sekali diturun rahmat ke alam, bulan yang terdapat padanya
malam Lailatul Qadar, suatu rahmat dan rahsia yang dikurniakan kepada hamba
hamba Nya yang salihin, yang tidak terdapat pada bulan bulan yang
lainnya. Mereka menangis kerana belum tentu akan dapat menemui bulan termulia
ini pada tahun tahun hadapan, kiranya dipanjangkan umur.
-
Apabila berakhirlah malam bulan Ramadan, menangislah tujuh petala langit
dan tujuh petala bumi, dan segala malaikat, jerana berlalu Ramadan berlalulah
kelebihan, sebab musibah bagi umatku, dan duduk segala malaikat bagi musibah,
orang bertanya : Ya Rasullullah, apa itu musibah ? Jawab rasullullah
(s.a.w), Kerana segala doa padaNya itu mustajab, sedakah makbul, segala
kebajikan digandakan dan siksa kubur diangkat, maka apakah
musibah yang terlebih besar daripada ini bagi umatku?! (Al-Hadith)
-
Malam Lailatul Qadar adalah malam rahsia, yang turunnya padanya malaikat
Jibrail dan beberapa malaikat dengan perintah Allah. Orang yang berjaga
dengan malam ibadatnya untuk mendapatkan malam Lailatul Qadar yang terahsia
itu yang tidak diketahui oleh manusia, hanya orang-orang solihin yang hampir,
orang berusaha mendapatkan malam mulia itu dengan berjaga malam pada sepuloh
malam Ramadan yang terakhir maka diampunkan tuhan segala dosanya. Di pahalakannya
dengan banyak , dirahmatkannya dengan limpah kurnia. Dan orang-orang solihin
yang dikurniakan Allah mendapat malam Lailatul Qadar itu satu keberuntungan
kebahagiaan bagi akhirat, mendapat keampunan dan rahmat terbesar, mendapat
pimpinan Allah dalam hatinya, mendapat keredaan Allah dalam hidupnya dunia
dan akhirat.
-
Malam Aidilfitri, malam raya, disunatkan kepada kita berjaga malam, beribadah,
bertakbir "AllahuAkbar" sepanjang malamnya. Akan mendapat keampunan yang
banyak, pahala yang besar, rahmat Allah tercurah kepadanya. Siapa yang
menghidupkan dua malam raya (AidilFitri & AidilAdha) dengan ibadatnya
dan takbirnya , tiada dimatikan hatinya pada hari yang dimatikan segala
hati. (Al-Hadith).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan