Ahad, 3 Ogos 2014

Niat Puasa Enam | Kelebihan Dan Keistimewaan [Puasa Enam Di bulan Syawal]

Niat Puasa Enam | Kelebihan Dan Keistimewaan [Puasa Enam Di bulan Syawal]

Cepatnya masa berlalu dan hari ini sudah 6 Syawal, ramai sudah pulang ke bandar untuk bekerja, Esok tamatlah sudah aku bercuti dan akan pulang ke Kota untuk mencari rezeki untuk mengisi perut..hehe.. Apapun aku nak kongsi artikel sempena bulan Syawal yang mulia ini iaitu Puasa Enam Hari di bulan Syawal iaitu Fahdilat, Kelebihan dan Niat Puasa Enam.. Moga artikel ini memberi sedikit Ilmu dan moga boleh diamalkan oleh kita semua...Selamat Berpuasa Enam...
 
Oleh : Mufti Brunei
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda).
Niat Puasa Enam  | Kelebihan Dan Keistimewaan [Puasa Enam Di bulan Syawal]
Bulan Ramadhan yang baru saja berlalu selain banyak membentuk dan mendidik kita, memberi peluang pula bagi kita merebut pahala berlipat ganda sekaligus meningkatkan keimanan serta ketaqwaan.
Kini dengan tibanya bulan Syawal iaitu bulan kembali kepada fitrah, boleh menjadi pengukur sejauh mana bulan Ramadhan yang baru saja berlalu telah memberi kesan dalam jiwa kita.
Kalau di bulan Ramadhan kita biasanya merebut peluang untuk mengerjakan amalan-amalan sunat seperti sembahyang Tarawih, Witir, bertadarus atau membaca al-Qur’an, bersedekah dan sebagainya, adakah di bulan-bulan selepas Ramadhan kita akan meneruskan amalan tersebut?
Antara amalan-amalan sunat yang menjadi rebutan para salihin di bulan Syawal ini ialah amalan puasa sunat enam. Apakah dia puasa sunat enam itu?
Definisi Serta Fadhilat Puasa Enam
Puasa enam ialah puasa sunat yang dikerjakan sebanyak enam hari di bulan Syawal. Ianya sunat dan lebih afdhal dikerjakan secara berturut-turut di awal bulan Syawal iaitu bermula dari 2 haribulan Syawal, dan boleh juga dikerjakan secara berselang-seli ataupun dikerjakan bukan pada awal bulan Syawal.
Puasa sunat enam ini sangat besar fadhilat serta ganjarannya, diriwayatkan daripada Abu Ayyub Al-Anshari Radhiallahu ‘anhu, beliau telah berkata bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, adalah (puasanya itu) seperti puasa sepanjang tahun.”
(Hadits Riwayat Imam Muslim)
Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari di bulan Syawal di samping mengerjakan puasa fardhu di bulan Ramadhan diibaratkan seperti berpuasa sepanjang tahun berdasarkan perkiraan bahawa setiap kebajikan itu dibalas dengan sepuluh kali ganda. Oleh itu disamakan berpuasa di bulan Ramadhan selama 29 atau 30 hari dengan 300 hari atau sepuluh bulan berpuasa dan puasa enam di bulan Syawal itu disamakan dengan 60 hari atau dua bulan berpuasa. Maka dengan itu genaplah ia setahun. Ini diperkuatkan lagi dengan sebuah hadits riwayat Tsauban bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
“Berpuasa sebulan (di bulan Ramadhan itu disamakan) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun.”
(Hadits Riwayat Imam Al-Darimi)
Apa yang dimaksudkan dengan penyamaan di sini adalah dari segi perolehan pahala iaitu seseorang itu akan mendapat pahala seperti pahala yang didapatinya dari puasa fardhu. Jadi, pahala mengerjakan puasa bulan Ramadhan dan puasa enam adalah sama dengan pahala mengerjakan puasa fardhu sebanyak setahun.
Hukum Dan Kedudukan Orang Berpuasa Sunat Menghadiri Jemputan Rumah Terbuka
Amalan berziarah atau berkunjung-kunjungan di Hari Raya Aidil-Fitri sudah menjadi adat bagi kita. Tuan rumah sudah pasti menghidangkan berbagai jenis juadah khususnya ketika mengadakan majlis rumah terbuka atau yang lebih biasa disebut dengan "open house".
Bagi mereka yang sedang berpuasa sunat enam, ini adalah satu dilema yang sukar dielakkan di hari raya ini, apatah lagi jika tuan rumah itu mengkhususkan jemputannya di waktu siang. Sehinggakan ada yang menjadikan alasan berpuasa sunat itu untuk tidak menghadiri jemputan ataupun menjadikannya alasan untuk tidak berpuasa enam.
Perlu diingat bahawa berpuasa bukanlah tiket serta alasan untuk tidak memenuhi jemputan. Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma misalnya, tetap memenuhi jemputan walaupun beliau sedang berpuasa. Dalam satu hadits riwayat Imam Muslim, Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu telah berkata bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya:
“Jika dijemput seseorang daripada kamu ke (majlis) jamuan maka hendaklah dia memenuhinya. Jika dia sedang berpuasa maka doakanlah tuan rumah itu, dan jika dia tidak berpuasa maka hendaklah dia makan.”
(Hadits Riwayat Imam Muslim)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan